Friday 9 November 2012

Rahsia Vitamin C Untuk Membentuk Kalogen


Adakah anda mengenali buah citrus? Bagi yang tidak tahu, buah citrus adalah buah-buahan yang merangkumi pelbagai jenis limau sama ada oren, lemon, limau nipis, limau bali, limau kasturi, limau purut mahupun limau Mandarin. Buah-buahan ini selalunya dimakan segar, diperah jusnya untuk dijadikan minuman, bahan perencah masakan atau diparut sebagai perisa kek, kuih-muih atau bahan perapan. 

Untuk pengetahuan anda, bua-buahan citrus mempunyai rasa masam dan manis serta kaya dengan vitamin C dimana ia begitu baik untuk kulit anda. Vitamin C yang terkandung didalam buah-buahan citrus ini bertanggungjawab membentuk kolagen yang baik untuk pembentukan ligamen, tendon, kulit, pembuluh darah dan tulang serta membantu proses penyembuhan luka. 

Selain itu juga, buah-buahan citrus ini juga baik untuk kesihatan jantung, penglihatan serta mengurangkan risiko penyakit kanser.Ia juga memiliki kelebihan sebagai antioksidan, membantu mengawal tekanan darah, mengurangkan risiko penyakit strok di kalangan wanita serta membantu perkembangan otak janin. 

Buah oren pula antara ‘ubat’ paling manis. Mengambil dua atau empat biji buah berkenaan setiap hari boleh menjauhkan selesema, kolesterol, mencegah dan melarutkan batu di dalam buah pinggang serta memperkecilkan risiko barah usus. Oren juga mengandungi karbohidrat dalam bentuk fruktosa, glukosa dan sukrosa. Serat di dalam karbohidrat melambatkan proses pengosongan perut, pencernaan dan penyerapan khasiat makanan.

Oren turut mengandungi beta carotene, iaitu antioksida yang berkuasa yang memelihara kesihatan sel kita. Ia turut mengandungi kalsium yang berfungsi membina tulang dan gigi kuat. Kandungan asid folik dalam buah oren juga sangat diperlukan otak. 

Magnesium dalam buah oren pula boleh membantu mengawal tekanan darah supaya dapat diseimbangkan, manakala kandungan potasiumnya menjaga kesihatan sistem kardiovaskular dan memelihara keseimbangan elektrolit dalam tubuh. 

Makanan yang kita makan juga dapat ditukarkan menjadi tenaga menerusi thiamin yang terkandung di dalam buah oren. Sementara itu, pencuci mulut, kek atau puding daripada buahan sitrus pula boleh membuka selera kerana mempunyai gabungan rasa masam dan manis. 

Rahsia yang perlu anda tahu adalah, kulit buah oren yang berwarna putih sebenarnya mengandungi lebih banyak vitamin C berbanding isinya. Jika anda ingin menikmati buah oren, tinggalkan sedikit lapisan putih kulitnya untuk dinikmati bersama isinya. Walaupun pahit, ini demi kesihatan anda juga. 

No comments:

Post a Comment